• GAYA PEMBELAJARAN, KEMAHIRAN BELAJAR DAN MASALAH BELAJAR PELAJAR DI FAKULTI PENDIDIKAN,


  •   
  • FileName: 71881.pdf [read-online]
    • Abstract: orang lelaki dan 228 orang perempuan pelajar tahun 2 hingga akhir program Ijazah Sarjana ... responden pelajar tahun 2 hingga tahun akhir Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Pendidikan, ...

Download the ebook

VOT 71881
KEPELBAGAIAN GAYA PEMBELAJARAN DAN
KEMAHIRAN BELAJAR PELAJAR UNIVERSITI
DI FAKULTI PENDIDIKAN, UTM JOHOR
(CONTRASTING LEARNING STYLES AND STUDY SKILLS
AMONG UNIVERSITY STUDENTS AT
THE FACULTY OF EDUCATION, UTM JOHOR)
DR BAHARIN ABU
PM DR OTHMAN MD JOHAN
PM SYED MOHD SHAFEQ SYED MANSOR
HALIZA JAAFAR
RESEARCH VOTE NO:
71881
Jabatan Asas Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
2007
1
PENGHARGAAN
Setinggi-tingginya penghargaan kepada pihak RMC UTM yang membiayai penyelidikan ini
(Vot Penyelidikan 71881)
Terima kasih yang tidak terhingga kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Pendidikan
yang sudi meluangkan masa dan memberi kerjasama dalam membantu menjayakan
penyelidikan ini.
Ucapan jutaan terima kasih juga ditujukan staf pengurusan Fakulti Pendidikan, dan semua
pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha menjayakan
penyelidikan ini. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, penyelidikan dan
laporan projek ini tidak dapat disiapkan dengan sempurna.
2
ABSTRAK
Kajian ini mengkaji kepelbagaian gaya pembelajaran dan kemahiran belajar pelajar
universiti. Kajian ini melibatkan seramai 310 orang responden yang terdiri daripada 82
orang lelaki dan 228 orang perempuan pelajar tahun 2 hingga akhir program Ijazah Sarjana
Muda dari pelbagai pengkhususan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Kajian ini berbentuk deskriptif dan menggunakan instrumen soal selidik dengan skala empat
mata bagi mengukur lima kategori gaya pembelajaran dan enam aspek kemahiran belajar.
Lima kategori gaya pembelajaran oleh Dunn dan Dunn adalah kategori Persekitaran,
Emosional, Sosiologikal, Fizikal dan Psikologikal dan kemahiran belajar. Enam aspek
kemahiran belajar adalah Kemahiran Membaca, Kemahiran Menguruskan Masa, Kemahiran
Menulis Nota, Kemahiran Mendengar, Kemahiran Membuat Rujukan dan Kemahiran
Menghadapi Peperiksaan. Nilai pekali Alpha Cronbach untuk kajian ini adalah 0.83.
Dapatan kajian mendapati kategori Emosional (min 3.09, SP=0.63) adalah gaya
pembelajaran yang paling dominan diamalkan oleh responden kajian. Kategori yang kedua
adalah kategori Psikologikal (min 2.98, SP=0.84), diikuti ketiga ialah kategori Fizikal (min
2.87, SP=0.72), keempat ialah kategori Persekitaran (min 2.81, SP=0.70) dan kelima oleh
kategori Sosiologikal (min 2.81, SP=0.74). Keseluruhannya tahap kemahiran belajar pelajar
Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pendidikan, UTM berada pada tahap sederhana. Skor min bagi
tiga kemahiran iaitu Kemahiran Membuat Rujukan ialah 3.09 (SP=0.58), Kemahiran
Mendengar minnya 3.04 (SP=0.64) dan Kemahiran Mengambil dan Menulis Nota min 3.03
(SP=0.71) berada pada tahap tinggi manakala selebihnya Kemahiran Membaca minnya 2.94
(SP=0.66), Kemahiran Menghadapi Peperiksaan min 2.88 (SP=0.72) dan Kemahiran
Menguruskan Masa min 2.80 (SP=0.75) berada pada tahap sederhana. Dapatan kajian
menunjukkan kepelbagaian gaya pembelajaran dan tahap kemahiran belajar memberi kesan
yang berbeza terhadap tabiat dan kesungguhan pembelajaran akademik pelajar. Di samping
itu, dikemukakan juga cadangan kajian untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran.
3
ABSTRACT
The study examines undergraduate university students' learning styles and study skills level.
A total of 310 undergraduate students of different study years and programs at the Education
Faculty, Universiti Teknologi Malaysia involved in the study. The respondents comprised of
82 male and 228 female students. The study employed a set of questionnaire measuring on
students' different learning styles and study skills using four point scales. The five
categories of learning styles by Dunn and Dunn are Environmental, Emotional, Sociological,
Physical and Psychological. The six aspects of study skills are Referencing, Listening, Note-
taking, Reading, Preparing for Examination and Managing Time. The Cronbach Alpha
coefficient for the instrument is 0.83. The result showed that the students' learning styles
were mainly of Emotional category with mean score 3.09 (SD=0.63), second was
Psychological category (mean 2.98, SD=0.84), third was Physical category (mean 2.87,
SD=0.72), fourth was Environmental category (mean 2.81, SD=0.70) and finally,
Sociological category (mean 2.81, SD=0.74). Generally, the students' study skills level was
found to be moderate. The mean score for Referencing Skill was 3.09 (SD=0.58), Listening
Skill (mean 3.04, SD=0.64) and Note-taking Skill (mean 3.03, SD=0.71) were categorized
as highest level. Three other skills i.e. Reading (mean 2.94, SD=0.66), Preparing for Exam
(mean 2.80, SD=0.72) and Managing Time (mean 2.80, SD=0.75) were recorded at the
moderate level. The different styles and study skills level adopted by students have directly
influenced students' orientations and approaches to learning. Finally, several
recommendations were given to enhance students' teaching and learning effectiveness.
4
ISI KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
JUDUL i
PENGHARGAAN ii
ABSTRAK iii
ABSTRACT iv
ISI KANDUNGAN v
SENARAI LAMPIRAN vii
BAB 1 : PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan 1
1.1 Latar Belakang Masalah 3
1.2 Pernyataan Masalah 4
1.3 Objektif Kajian 5
1.4 Persoalan Kajian 5
1.5 Kepentingan Kajian 5
1.6 Skop dan Batasan Kajian 6
1.7 Definisi Istilah 7
1.8 Kesimpulan dan Organisasi Bab 8
BAB 2 : SOROTAN PENULISAN
2.0 Pengenalan 9
2.1 Gaya Pembelajaran 9
2.1.1 Model Dunn dan Dunn 9
2.1.1.1 Rangsangan Persekitaran 11
2.1.1.2 Rangsangan Emosional 12
2.1.1.3 Rangsangan Sosiologikal 13
2.1.1.4 Rangsangan Fizikal 14
2.1.1.5 Rangsangan Psikologikal 15
2.1.2 Model Gaya Pembelajaran Honey dan Mumford 17
2.1.3 Model Gaya Pembelajaran Kolb 19
2.1.4 Model Gaya Pembelajaran Canfield 20
2.1.6 Model Gaya Pembelajaran Mengikut Rahil et al. 21
5
2.2 Kemahiran Belajar 22
2.2.1 Kemahiran Membaca 22
2.2.1.1 Kemahiran Semasa Membaca 23
2.2.1.2 Teknik Membaca SQ3R 23
2.2.1.3 Teknik Membaca SQ4R 24
2.2.1.4 Teknik Membaca KWLH 25
2.2.1.5 Teknik Membaca REAP 25
2.2.2 Kemahiran Mencatat Nota 26
2.2.3 Kemahiran Mengurus Masa 29
2.2.4 Kemahiran Mendengar 32
2.2.5 Kemahiran Membuat Rujukan 33
2.2.6 Kemahiran Menghadapi Peperiksaan 34
2.3 Masalah Pembelajaran 34
2.4 Pengajaran Pensyarah 35
2.5 Minat 36
2.6 Kemudahan Pembelajaran 37
2.7 Beban Tugas Pembelajaran 38
2.8 Pencapaian Akademik 39
2.9 Kesimpulan 40
BAB 3 : METODOLOGI KAJIAN
3.0 Pengenalan 41
3.1 Rekabentuk Kajian 41
3.2 Populasi dan Responden Kajian 41
3.3 Instrumen Kajian 44
3.4 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen 45
3.5 Prosedur Kajian 46
3.6 Penganalisisan Data 46
3.7 Kesimpulan 47
BAB 4 : DAPATAN KAJIAN
4.0 Pengenalan 48
4.1 Analisis Faktor Demografi Terpilih 48
4.2 Analisis Dapatan Kajian Bahagian B 51
4.2.1 Gaya Pembelajaran Pelajar 51
4.2.1.1 Gaya Pembelajaran Pelajar Kategori Persekitaran 52
4.2.1.2 Gaya Pembelajaran Pelajar Kategori Emosional 53
4.2.1.3 Gaya Pembelajaran Pelajar Kategori Sosiologikal 55
4.2.1.4 Gaya Pembelajaran Pelajar Kategori Fizikal 56
6
4.2.1.5 Gaya Pembelajaran Pelajar Kategori Psikologikal 58
4.2.2 Gaya Pembelajaran Dominan Pelajar 59
4.2.3 Tahap Kemahiran Belajar Pelajar 60
4.2.2.1 Kemahiran Membaca 60
4.2.2.2 Kemahiran Menulis dan Mengambil Nota 62
4.2.2.3 Kemahiran Menguruskan Masa 63
4.2.2.4 Kemahiran Mendengar 65
4.2.2.5 Kemahiran Membuat Rujukan 66
4.2.2.6 Kemahiran Menghadapi Peperiksaan 67
4.3 Kesimpulan 70
BAB 5 : RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN
5.0 Pengenalan 71
5.1 Rumusan Kajian 71
5.2 Perbincangan Kajian 72
5.2.1 Gaya Pembelajaran Pelajar 72
5.2.2 Kemahiran Belajar Pelajar 74
5.3 Cadangan Kajian 80
5.4 Cadangan Lanjutan 81
5.5 Kesimpulan 82
RUJUKAN 83
LAMPIRAN 90
Lampiran A Borang Soalselidik 90
7
BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan
Pelajar mempunyai tahap motivasi yang berbeza, berbeza sikap terhadap pengajaran dan
pembelajaran, memberi respon yang berbeza kepada persekitaran bilik darjah dan amalan
pengajaran. Pelajar belajar dalam berbagai cara dengan melihat dan mendengar, merefleksi
dan melakukan, berfikir secara logik dan intuitif, dan menghafal, mengingat dan
menggambarkan.
Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat
semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan
memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam
kehidupan (Hargreaves, 1996). Pembelajaran melibatkan usaha menguasai kemahiran dan
pengetahuan di samping membentuk sikap. Kajian dalam bidang psikologi dan pendidikan
menunjukkan individu mempunyai kemahiran yang berbeza memproses maklumat. Kaedah
tersendiri individu mencari, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat dikenali
sebagai gaya pembelajaran (Felder dan Henriques, 1995). Oleh itu untuk berjaya, individu
pelajar perlu memiliki sifat belajar dan menguasai kaedah belajar untuk mendapatkan
pengetahuan dan kemahiran.
Walaubagaimanapun, kemungkinan wujudnya pelajar yang berhadapan dengan konflik
belajar apabila tidak memiliki gaya pembelajaran yang sesuai. Masalah berlaku apabila gaya
pembelajaran pelajar tidak dapat disesuaikan dengan aktiviti dan gaya pengajaran pensyarah.
Akibatnya pelajar menjadi bosan dan tidak menumpukan perhatian; menyebabkan mereka
gagal mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, kurang berminat pada subjek tertentu dan
seterusnya berputus asa. (Baharin Abu, 2000; Felder & Silverman, 1988; Godleski, 1984;
Oxford et al., 1991; Smith & Renzulli, 1984).
Kajian oleh Bass dan Greary (1996) merumuskan bahawa salah satu cara penentuan
kecekapan atau prestasi seseorang individu mempelajari dan menguasai ilmu adalah dengan
menyedari gaya pembelajarannya. Penggunaan kaedah atau gaya pembelajaran dapat
8
membantu seseorang mengetahui dan memahami pengetahuan dan kemahiran dalam proses
pembelajaran. Gaya pembelajaran yang dimiliki juga dapat membantu seseorang untuk
mengenalpasti situasi pembelajaran dan mempertingkatkan prestasi pembelajaran (Dunn dan
Stevenson, 1997). Pelajar yang tahu menggunakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan
dirinya akan lebih mudah membantu mereka mencapai keputusan yang lebih cemerlang.
Klavas (1994) dalam kajiannya mendapati setelah pelajar diperkenalkan dengan gaya
pembelajaran dan menggunakannya telah mendapat keputusan lebih cemerlang. Kajian
berpanjangan (longitudinal) oleh Dunn dan Dunn (1978) menghasilkan satu model gaya
pembelajaran dan mengenalpasti 5 kategori gaya pembelajaran yang diamalkan oleh
individu.
Di samping penyesuaian gaya pembelajaran dengan sifat individu, penguasaan kemahiran
belajar juga penting untuk mencapai keputusan cemerlang. Menurut Selmes (1987),
kemahiran belajar adalah kemahiran yang membolehkan seseorang pelajar mencari, menilai,
memilih, menyusun, menyimpan dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Kemahiran belajar
merupakan keupayaan atau kecekapan yang dikuasai oleh seseorang pelajar untuk
mengumpul, memproses dan menyimpan maklumat serta menuju ke arah pembelajaran
seumur hidup.
Sehubungan dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah untuk
melengkapkan diri individu dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan dan seterusnya dapat
membantu individu untuk menghadapi dunia pekerjaan dan berjaya dalam kehidupan.
Dalam usaha untuk mendapat kejayaan akademik, kajian lalu telah menegaskan bahawa
seseorang pelajar perlu menitikberatkan gaya pembelajaran dan kemahiran belajar yang
diamalkan supaya dapat mengurangkan masalah belajar pelajar.
Oleh itu, kajian mengenai gaya pembelajaran, kemahiran belajar dan masalah belajar pelajar
di universiti perlu dibuat supaya proses dan prestasi belajar pelajar dapat dipertingkatkan. Di
samping itu, kesedaran mengenai pentingnya interaksi antara tiga elemen ini di kalangan
pelajar juga boleh membantu pihak universiti dan pensyarah menyediakan persekitaran dan
kaedah mengajar yang lebih sesuai dengan kecenderungan belajar pelajar (Baharin Abu,
2000).
9
1.1 Latar Belakang Masalah
Perbezaan atau variasi seseorang individu dengan norma kumpulan, sama ada dalam sifat
kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkahlaku, sosial atau bakat sememangnya wujud dalam
sesebuah kumpulan (Santhi Suppiah, 1998; Dunn dan Dunn, 1978). Perbezaan dalam diri
individu boleh dikesan berkait dengan aspek perkembangan fizikal, mental, emosi dan
sosial. Akibatnya setiap individu pelajar mempunyai kepelbagaian dan kecenderungan gaya
belajar yang berbeza, strategi belajar yang berbeza dan kadar pembelajaran yang berlainan.
Ada di antara individu ini mempunyai gaya pembelajaran yang dominan, dan ada pula yang
menggunakan gaya belajar yang berbeza disesuaikan mengikut persekitaran.
Kepelbagaian ini perlu dikenalpasti oleh para pengajar ketika menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran supaya pengajar dapat membuat persediaan yang rapi dengan
mengambil kira perbezaan latarbelakang dan pengetahuan sediada (`prior knowledge')
pelajar sebelum memulakan sesi pengajaran.
Kajian lepas menjelaskan untuk belajar lebih berjaya individu pelajar perlu didedahkan
dengan pelbagai model dan teknik pembelajaran. Malangnya, unsur ini kurang ditekankan
oleh guru atau pensyarah. Sarena Abdul Karim (2003) menyatakan sistem pendidikan di
Malaysia masih kurang menekankan aspek teknik belajar secara formal. Menurutnya lagi,
kebanyakan pelajar mempelajari teknik atau kemahiran belajar secara secara kebetulan,
tidak langsung atau terikut-ikut dengan rakan sebaya. Situasi ini wujud disebabkan pelajar
tidak mempunyai panduan yang khusus untuk menghadapi pembelajaran mereka. Sangat
sedikit pelajar didedahkan dengan model gaya pembejaran dan kemahiran belajar semasa
diperingkat awal persekolahan. Siti Hawa Munji (1987) telah membuat satu kajian mengkaji
kemahiran belajar pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Hasil kajiannya mendapati
kesedaran pelajar UPM tentang penggunaan kemahiran belajar yang berkesan di kalangan
pelajar masih berada pada tahap yang rendah.
Dunn dan Dunn (1978) menyatakan bahawa kajian yang dijalankan oleh beliau sejak seabad
yang lalu mendapati bahawa strategi belajar bagi seseorang sangat berbeza di antara satu
sama lain. Dunn dan Dunn (1978) mendapati gaya pembelajaran gaya pembelajaran boleh
dikategorikan kepada 5 kategori iaitu (1) Persekitaran, (2) Emosional, (3) Sosiologikal, (4)
Fizikal dan (5) Psikologikal. Beliau mendapati bahawa kaedah, sumber dan program yang
10
disesuaikan dengan strategi pembelajaran seseorang pelajar dapat mempertingkatkan
pencapaian akademik seseorang pelajar dan membawa individu mencapai ke tahap yang
lebih cemerlang. Strategi pembelajaran yang bersesuaian dengan jurusan atau kehendak
kursus yang diambil juga akan memberi kesan positif kepada pencapaian akademik.
1.2 Pernyataan Masalah
Mempelajari kemahiran belajar yang sesuai merupakan masalah yang sering dihadapi oleh
pelajar yang ingin mencapai kejayaan yang cemerlang. Pelajar selalu menghadapi masalah
untuk mencatat nota, merancang kerja, mengagihkan masa untuk belajar dan selalu tidak sempat
habis membaca nota semasa peperiksaan.
Antara punca berlakunya kemerosotan pencapaian akademik para mahasiswa ialah mereka
gagal menyesuaikan diri dengan cara pengajaran dan pembelajaran di universiti, di samping
tidak mempunyai gaya pembelajaran yang betul (Baharin Abu, 2000, 2003; Abdul Ghani
Awang, 1996). Akibatnya, ramai pelajar yang kurang berjaya gagal mencapai keputusan
cemerlang mengakui diri mereka kekurangan pengetahuan dalam kemahiran belajar. Mereka
tidak dapat mencari kemahiran belajar yang paling sesuai dengan sikap sendiri. Ini jelas
menunjukkan betapa perlunya seseorang pelajar mengetahui gaya pembelajaran dan
menguasai kemahiran belajar yang paling sesuai dengan diri sendiri terutamanya ketika
menghadapi peperiksaan. Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah
berbeza di antara satu sama lain. Menurut Dunn dan Dunn (1978), elemen-elemen yang
mempengaruhi gaya pembelajaran pelajar adalah seperti Persekitaran, Emosional, Sosiologi,
Fizikal dan Psikologi. Model ini seterusnya dijadikan sebagai panduan kajian dalam
mengesan gaya belajar pelajar 'undergraduate' di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi
Malaysia (UTM).
Oleh itu, adakah pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza atau adakah mereka
mengamalkan gaya pembelajaran yang sama? Apakah gaya pembelajaran yang menonjol
(atau dominan) yang diamalkan oleh mereka? Di samping itu, adakah mereka mempunyai
tahap amalan kemahiran belajar yang betul atau sebaliknya? Apakah sikap mereka terhadap
kemahiran belajar dan aspek kemahiran belajar yang manakah yang kurang ditekankan oleh
pelajar?
11
Justeru kajian ini dibuat untuk mengkaji gaya pembelajaran, kemahiran belajar dan masalah
belajar di kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Pendidikan, UTM dari pelbagai
tahun dan program pengajian supaya langkah yang betul dapat diambil untuk memperbaiki
situasi yang berlaku, di samping untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan dan prestasi
akademik pelajar.
1.3 Objektif Kajian
Terdapat 2 objektif disediakan dalam kajian ini, iaitu
1. Mengenal pasti gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda
di Fakulti Pendidikan, UTM dari segi kategori Persekitaran, Emosional,
Sosiologikal, Fizikal, dan Psikologikal mengikut Model Dunn dan Dunn.
2. Menentukan tahap kemahiran belajar pelajar di kalangan pelajar Ijazah Sarjana
Muda di Fakulti Pendidikan, UTM.
1.4 Persoalan Kajian
Berikut adalah persoalan kajian yang dibina bagi menjawab objektif yang disediakan.
1. Apakah kepelbagaian gaya pembelajaran yang diamalkan oleh pelajar Ijazah Sarjana
Muda di Fakulti Pendidikan, UTM dari segi kategori Persekitaran, Emosional,
Sosiologikal, Fizikal, dan Psikologikal mengikut Model Dunn dan Dunn.? Apakah
gaya pembelajaran yang dominan yang diamalkan oleh pelajar?
2. Apakah tahap kemahiran belajar pelajar di kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda di
Fakulti Pendidikan, UTM? Apakah aspek kemahiran belajar yang kurang diberi
perhatian oleh pelajar?
1.5 Kepentingan Kajian
Hasil kajian ini, penyelidik berharap dapat memberi manfaat kepada peningkatan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, terutamanya kepada pelajar tahun akhir, fakulti dan
pensyarah, dan pusat latihan dan perkembangan pengajaran dan pembelajaran. Khususnya
hasil kajian ini dijangkakan dapat menyumbang kepada:
12
1. mendorong pelajar untuk meningkatkan prestasi belajar melalui amalan belajar yang
betul dan mengetahui masalah gangguan belajar yang mereka boleh hadapi supaya
langkah yang perlu boleh diambil untuk mengatasinya.
2. memberi panduan kepada pensyarah untuk memantapkan lagi pengajaran mereka
supaya lebih bersesuaian dengan tahap pembelajaran pelajar. Pensyarah dapat
memahami kehendak belajar pelajar mereka dan menggunakan maklumat kajian ini
dalam merancang bahan mengajar atau merekabentuk kurikulum bagi mewujudkan
suasana pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan gaya dan amalan
belajar pelajar.
3. membantu fakulti mengesan masalah akademik pelajar dan memperbaiki persekitaran
dan mutu pengajaran dan pembelajaran
4. membantu pihak universiti terutamanya kepada unit atau pusat kecemerlangan
pengajaran dan pembelajaran CTL di UTM untuk merancang dan melaksanakan
aktiviti atau program yang meningkatkan kemahiran belajar dan mengajar untuk
pelajar dan pensyarah.
1.6 Skop dan Batasan Kajian
Batasan kajian adalah responden dan kaedah kajian. Pertama, kajian ini hanya melibatkan
responden pelajar tahun 2 hingga tahun akhir Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Pendidikan,
UTM sahaja. Oleh itu, generalisasi tidak boleh dibuat kepada semua pelajar berbagai fakulti
di UTM dan juga kepada pelajar tahun satu di Fakulti Pendidikan.
Kedua, metodologi kajian ini mempunyai kekurangan berbanding gabungan penggunaan
kaedah dan instrumen yang lain. Kajian ini menggunakan rekabentuk tinjauan dan hanya
menggunakan soalselidik berpandukan kepada model lima kategori gaya pembelajaran Dunn
dan Dunn iaitu Persekitaran, Emosional, Sosiologikal, Fizikal dan Psikologikal. Di samping
itu, aspek kemahiran belajar yang dikaji tertumpu kepada kemahiran mengurus masa,
kemahiran membaca, kemahiran mencatat nota, kemahiran membuat rujukan, kemahiran
mendengar dan kemahiran menghadapi peperiksaan. Masalah belajar pelajar berpandukan
respon bertulis pelajar dari soalan terbuka.
13
1.7 Definisi Istilah
Kajian ini menggunakan definisi istilah berdasarkan kepada konsep atau model berikut.
i. Gaya Pembelajaran
Model gaya pembelajaran Dunn dan Dunn digunakan dalam kajian ini. Menurut Dunn dan
Dunn (1978), gaya pembelajaran didefinisikan sebagai cara seseorang mula menumpu
perhatian, memproses dan mengingat sesuatu maklumat yang baru dan susah. Model 5
Kategori Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn ialah Persekitaran, Emosional, Sosiologikal,
Fizikal dan Psikologikal.
ii. Kemahiran belajar
Enam aspek kemahiran belajar yang dikaji iaitu kemahiran mengurus masa, kemahiran
membaca, kemahiran mencatat nota, kemahiran membuat rujukan, kemahiran mendengar
dan kemahiran menghadapi peperiksaan yang dijangka mempengaruhi prestasi akademik
dan belajar seseorang (Yahya Othman, 2003; Mohd Nashuha Jamidin et al., 1995).
Kemahiran mengurus masa adalah cara menggunakan masa dengan betul. Kemahiran
membaca adalah proses berfikir yang melibatkan pemikiran berkaitan dengan perkara
tersurat, tersirat dan mengaplikasikan maklumat baru ke dalam situasi baru. Kemahiran
menulis nota adalah merekod isi-isi penting atau maklumat yang diperoleh melalui kuliah,
daripada buku ataupun daripada sumber lain. Kemahiran membuat rujukan adalah membaca
atau mencari bahan rujukan tambahan untuk mendapatkan maklumat dan kemahiran
mendengar adalah aktiviti mendengar dan menyimpan maklumat yang diterima dengan
maklumat yang sedia ada dalam ingatan. Kemahiran menghadapi peperiksaan adalah
mengetahui cara menghadapi dan bersedia untuk peperiksaan.
iii. Masalah Belajar, Pengajaran dan Pembelajaran
Masalah yang dikaji merujuk kepada aspek penyampaian dan pengajaran pensyarah, minat
dan sikap belajar pelajar dan penggunaan aktiviti dan sumber pembelajaran. Pengajaran
pensyarah merujuk kepada proses pengajaran yang dilaksanakan yang menghasilkan kesan
pembelajaran di kalangan pelajar (Mok Soon Sang, 2001). Minat menurut Kamus Dewan
14
(2000), minat adalah kecenderungan dan kesukaan manakala sikap merujuk kepada
kesungguhan dan kesanggupan untuk melakukan sesuatu.
1.8 Kesimpulan dan Organisasi Bab
Bab ini menjelaskan masalah kajian yang melibatkan responden dari pelajar tahun akhir
program Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Pendidikan, UTM. Laporan kajian ini dibahagikan
kepada 5 bahagian. Bab 1 membincangkan pengenalan kajian iaitu latarbelakang, masalah
kajian dan objektif dan persoalan kajian. Bab 2 sorotan penulisan menjelaskan rujukan
kajian lalu berkaitan dengan masalah kajian. Bab 3 adalah metodologi kajian. Bab IV pula
membincangkan analisis data dan dapatan kajian. Bab V menyatakan rumusan,
perbincangan dan cadangan kajian.
15
BAB 2
SOROTAN LITERATUR
2.0 Pengenalan
Bahagian ini memberikan huraian literatur mengenai kajian ini. Huraian dibuat merujuk
kepada tiga perkara iaitu gaya pembelajaran, kemahiran belajar dan masalah belajar.
Perbincangan bahagian ini merujuk kepada kajian lepas yang mengenai gaya pembelajaran,
kemahiran belajar dan masalah belajar pelajar yang mempengaruhi pencapaian akademik
pelajar.
2.1 Gaya Pembelajaran
Terdapat berbagai model gaya pembelajaran (Honey dan Mumford, 1992; Dunn dan Dunn,
1978). Honey dan Mumford (1992) mendefinisikan gaya pembelajaran sebagai penerangan
ke atas sikap dan tingkah laku belajar yang diamalkan oleh individu. Menurut Dunn dan
Dunn (1978), gaya pembelajaran adalah cara seseorang mula menumpu perhatian,
memproses dan mengingat sesuatu maklumat yang sukar atau baru. Tujuan menguji gaya
pembelajaran adalah untuk (a) mengenalpasti gaya pembelajaran yang paling berkesan bagi
sesuatu individu, (b) mengenalpasti gaya pembelajaran yang tidak ketara, (c) mengenalpasti
gaya pembelajaran secara tepat melalui instrumen tertentu, (d) mengelakkan salah tafsir
tingkah laku dan mengenali tanda-tanda tingkah laku tertentu. Terdapat pelbagai model gaya
pembelajaran seperti yang dijelaskan dalam bahagian yang seterusnya. Kajian ini
menggunakan model Dunn dan Dunn untuk mengukur gaya pembelajaran responden kajian.
2.1.1 Model Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn (1978)
Model gaya pembelajaran Dunn dan Dunn (1978) menyatakan bahawa gaya pembelajaran
merupakan kaedah seseorang menumpu, memproses, menyerap dan mengingat maklumat
atau kemahiran yang baru dan sukar. Model Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn adalah
berdasarkan prinsip-prinsip berikut: a) kebanyakan individu mampu dan boleh belajar, b)
setiap individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu, c) gaya pembelajaran individu akan
bertindak balas dengan iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran, dan d)
16
iklim, sumber dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dapat disesuaikan dengan
gaya pembelajaran seseorang itu akan dapat mengoptimumkan proses pembelajaran. Dun
dan Dunn menyatakan individu pelajar dapat mempertingkatkan prestasi mereka sekiranya
proses pengajaran dan pembelajaran dapat disesuaikan dengan mengikut gaya pembelajaran
mereka.
Dunn dan Dunn (1978) mengkategorikan gaya pembelajaran kepada 5 bahagian iaitu
Persekitaran, Emosional, Sosiologikal, Fizikal dan Psikologikal. Model Dunn dan Dunn
telah digunakan untuk mengkaji pelbagai jenis pelajar dari peringkat tadika sehingga ke
peringkat institusi pengajian tinggi. Lima kategori ini mempengaruhi keupayaan seseorang
individu terhadap persekitaran pembelajarannya. Rajah 2.1 di bawah menjelaskan elemen
yang terdapat dalam gaya pembelajaran Dunn dan Dunn (1978).
Rajah 2.1: Model Gaya Pembelajaran Dunn dan Dunn (1978)
PERSEKITARAN
BUNYI CAHAYA SUHU REKA BENTUK
EMOSIONAL
MOTIVASI KECEKALAN TANGGUNG JAWAB STRUKTUR
SOSIOLOGIKAL RAKAN SEBAYA KENDIRI BERKUMPULAN DEWASA PELBAGAI
FIZIKAL
PERSEPSI INDERA MAKAN MINUM MASA MOBILITI
PSIKOLOGIKAL
ANALITIK GLOBAL OTAK REFLEKSI DESAKAN
KIRI/KANAN DIRI
(Sumber: Dunn dan Dunn, 1978)
Dunn dan Dunn mengenalpasti lima jenis rangsangan yang menghasilkan gaya pembelajaran
yang berbeza iaitu:
17
A. Rangsangan Persekitaran
Rangsangan persekitaran merujuk kepada elemen-elemen cahaya, bunyi, suhu dan
rekabentuk.
i. Cahaya
Dunn dan Dunn mendapati cahaya memberikan kesan yang berbeza pada individu dan
terdapat pelajar sangat sensitif terhadap cahaya. Kajian Dunn dan Dunn (1978) mendapati
terdapat individu memerlukan persekitaran cahaya terang semasa belajar. Menurut Siti
Hawa Munji (1989), terdapat sebilangan pelajar yang gemar cahaya terang kerana
pencahayaan yang samar akan membuatkan mata mereka cepat letih atau mengantuk. ada
pelajar yang tidak suka sinaran cahaya yang terlalu terang kerana Walaubagaimanapun,
Tobias (1996) menyatakan bahawa terdapat pelajar tidak mengendahkan keperluan cahaya
yang terang sewaktu belajar.
ii. Bunyi
Menurut kajian Dunn dan Dunn (1978), terdapat individu yang memerlukan bunyi seperti
muzik di persekitaran mereka semasa belajar. Oleh itu, mereka akan memasang radio atau
televisyen sewaktu belajar (terutamanya ketika larut malam) kerana bunyi dari radio atau
televisyen akan dapat mengatasi suasana yang sunyi itu dan dapat memberi lebih kosentrasi
terhadap pelajaran mereka. Bagi mereka yang suka belajar dalam suasana yang sunyi pula,
mereka lebih gemar belajar bersendirian berbanding secara berkumpulan kerana
perbincangan yang berlaku dalam kumpulan akan menganggu kosentrasi mereka. Menurut
Ibrahim Abu Samah (1995), didapati faktor persekitaran yang bising serta tidak
menyenangkan boleh mengurangkan minat pelajar terhadap pembelajaran mereka. Hakikat
ini jelas menunjukkan bahawa suasana persekitaran yang berbeza akan melahirkan gaya
pembelajaran yang berbeza (Garger, 1984). Kebanyakan pelajar memerlukan persekitaran
yang sunyi dan senyap untuk belajar supaya untuk menumpu perhatian terhadap pelajaran
mereka.
iii. Suhu
Setiap individu mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap suhu persekitaran (Dunn dan
Dunn, 1978). Proses pembelajaran adalah lebih berkesan sekiranya dilaksanakan dalam
suasana nyaman dan berhawa dingin. Suhu yang panas akan menyebabkan fikiran dan emosi
18
seseorang terganggu dan cepat berasa mengantuk dan akan menyebabkan produktiviti
seseorang. Pun begitu, terdapat juga pelajar yang tidak dapat menumpukan perhatian dalam
suasana yang sejuk hawa dingin.
iv. Rekabentuk
Menurut Garger (1985), gaya pembelajaran individu ditentukan oleh personaliti individu
yang berbeza. Pelajar yang gemar belajar dalam keadaan formal memerlukan satu tempat
yang khas untuk aktiviti pembelajaran mereka seperti sebuah meja dan kerusi. Golongan
pelajar gemarkan keadaan formal amat berstruktur dan mempunyai personaliti introvert.
Bagi pelajar yang suka belajar di tempat informal misalnya sebuah kerusi berkusyen, katil
atau lantai, mereka dikaitkan mempunyai personaliti ekstrovert. Pelajar perlu tahu memilih
tempat pembelajaran yang sesuai dan selesa untuk mereka memberikan kosentrasi terhadap
pelajaran.
B. Rangsangan Emosional
Rangsangan emosional terdiri daripada elemen-elemen seperti motivasi, kecekalan,
tanggungjawab dan struktur.
i. Motivasi
Motivasi merupakan daya penggerak utama yang menjamin kejayaan seseorang dengan
kecenderungan menyeluruh untuk bertindak pada masa tertentu. Apabila seseorang
mendapat dorongan, dia akan mempunyai keinginan yang kuat untuk bertindak ke arah
mencapai matlamat (Siti Hawa Munji, 1990). Bagi pelajar yang memerlukan motivasi
ekstrinsik, mereka selalu didesak atau digalakkan supaya bertindak untuk mendapatkan
ganjaran. Dalam pembelajaran, insentif diberikan dalam bentuk markah, gred, hadiah dan
kedudukan dalam kelas. Pada akhir satu peringkat pembelajaran, keputusan peperiksaan
yang baik, sijil dan surat akuan merupakan insentif yang mendorong pelajar supaya lebih
berusaha dengan lebih tekun. Motivasi intrinsik juga penting untuk pelajar bagi memberikan
dorongan dalaman kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti pembelajaran. Dorongan
dalaman ini adalah seperti keperluan, minat, sikap dan emosi yang semulajadi ataupun
berpandukan pengalaman serta kehendak persekitaran. Apabila pelajar sukar memahami dan
memperoleh pengetahuan dalam sesuatu pengajaran, pelajar mudah kehilangan minat dan
kurang memberi tumpuan.
19
ii. Kecekalan
Kecekalan penumpuan yang tinggi bagi seseorang individu dapat membantu pelajar belajar
dalam tempoh masa yang panjang. Tahap kecekalan yang berbeza antara individu
menyebabkan mereka memerlukan waktu dan tempoh masa rehat yang berbeza. Ada
segelintir pelajar yang mudah hilang minat serta berasa bosan terhadap kerja kerana mereka
hanya mampu menumpukan perhatian dalam jangka masa yang pendek sahaja. Ramai
pelajar mempunyai perangai suka menangguhkan kerja terutama apabila tugasan yang
diberikan itu membosankan, sukar serta memerlukan usaha yang lama untuk
menyiapkannya.
iii. Tanggungjawab
Individu yang ingin berjaya belajar perlu tekun bertanggungjawab (Bell, 1972). Pelajar
yang mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap pelajarannya akan sentiasa
melaksanakan tugasannya dengan inisiatif sendiri (Dunn dan Dunn, 1978). Namun begitu,
terdapat juga pelajar mengabaikan dan tidak akan menyiapkan kerja dengan baik.
iv. Struktur
Arahan yang jelas dan berstruktur mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan,
namun begitu terdapat juga pelajar yang suka belajar dengan gaya bebas. Dunn dan Dunn
(1978) mendefinisikan struktur sebagai suatu peraturan spesifik yang digunakan untuk
melaksanakan kerja dan menyiapkan tugasan. Pelbagai jenis struktur yang berbeza yang
diambil oleh pelajar bergantung kepada cara belajar setiap individu dan kebolehannya
membuat keputusan.
C. Rangsangan Sosiologi
Rangsangan sosiologi terdiri daripada elemen-elemen seperti diri sendiri, berpasangan,
berkelompok atau dengan rakan sebaya atau orang dewasa. Dunn dan Dunn (1978)
menjelaskan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara terus oleh guru
kepada pelajar.
i. Diri sendiri
Terdapat individu yang lebih suka belajar bersendirian dan tidak mahu gangguan sewaktu
mereka belajar. Mereka lebih selesa bersendirian berbanding belajar bersama rakan sebaya
20
kerana kurang gemar membuang masa untuk bercakap sesama rakan menyebabkan tidak
dapat menumpukan terhadap pelajaran.
ii. Berpasangan
Individu yang belajar secara berpasangan adalah individu yang lebih suka belajar dengan
kehadiran individu rapat bersamanya. Pasangannya adalah teman paling karib dan mereka
dapat berinteraksi secara dua hala apabila bersama.
iii. Rakan Sebaya
Pembelajaran dalam bentuk kumpulan yang pada kebiasaannya melibatkan lebih daripada
dua orang rakan sebaya yang banyak melibatkan perbincangan, sumbangsaran dan
perkongsian idea-idea tentang cara pembelajaran yang berkesan.
iv. Orang Dewasa
Orang dewasa menjadi tempat untuk mereka menyoal atau mengemukakan soalan apabila
menghadapi sesuatu masalah pembelajaran. Bagi pelajar yang kurang selesa belajar dengan
pelajar yang sebaya dengannya, mereka lebih selesa belajar bersama guru atau orang
dewasa.
D. Rangsangan Fizikal
Rangsangan fizikal terdiri daripada elemen-elemen seperti persepsi, makanan, minuman,
waktu belajar dan pergerakan.
i. Persepsi Pancaindera
Menurut Atan Long (1988), pembelajaran merupakan satu proses yang bermula dengan
penanggapan rangsangan yang diterima oleh pancaindera. Persepsi pancaindera merujuk
kepada penggunaan variasi semua lima pancaindera sewaktu memproses dan mengingat
maklumat oleh setiap indivi


Use: 0.0395